HEAL THE UMMAH

HEAL THE UMMAH
PRESENT AL-FATEH FOR UMMAH

Thursday, October 4, 2007

SELAMI KISAH KHADIJAH , AISYAH URUS KELUARGA




Selami kisah Khadijah, Aisyah urus keluarga






SHAHIDAH membuat keputusan berpindah ke selatan tanah air untuk mengikut suaminya yang sedang bertugas di sana. Perpindahan itu menyebabkan beliau terpaksa bertukar kerjaya ke tempat baru. Selepas tiga tahun berada di sana, sekali lagi suaminya ditugaskan ke tempat yang lebih jauh lagi. Dengan cahaya mata seramai empat orang yang memerlukan perhatian beliau sebagai ibu menyebabkannya terpaksa berfikir, bukan dua kali tetapi berkali-kali sama ada perlu bertukar kerja atau terus berhenti supaya dapat mengikut suaminya ke tempat baru. Jika beliau berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa, mampukah suaminya menanggung semua perbelanjaan yang kian meningkat. Bagaimana dengan sewa rumah, ansuran sewa beli kereta, pendidikan anak dan perbelanjaan lain yang semakin bertambah? Kalau berpindah, beliau terpaksa mencari pekerjaan lain. Ada atau tidak peluang pekerjaan yang sesuai dengan kelulusannya sedangkan ramai graduan menganggur hari ini. Lain pula kisahnya dengan Nafisah. Selepas tamat pengajian di luar negara, beliau ditemukan jodoh dengan seorang pemuda berketurunan Cina yang kelulusan hanya setakat sijil kemahiran. Walaupun mendapat tentangan hebat daripada keluarga dan tohmahan daripada orang kampung, beliau meneruskan juga hasratnya. Nafisah ditawarkan jawatan sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di selatan tanah air, suaminya pula terpaksa bertugas di pantai timur. Anak sulung mereka yang baru berusia dua tahun ditinggalkan bersama neneknya di Lembah Klang. Mereka hanya bertemu sebulan sekali atau pada cuti hujung minggu yang panjang. Peluang untuk beliau bertukar kerja masih belum ada. Persoalan untuk berhenti kerja semata-mata untuk mengikut suami ditentang hebat oleh keluarga. Apatah lagi selepas bersusah payah menamatkan pengajian di luar negara dengan pinjaman daripada Mara. Musalmah pula sudah tak kisah lagi mengenai keadaan kerja suaminya yang sentiasa bertugas di luar kawasan. Dalam setahun suaminya bertugas di dua atau tiga tempat manakala, beliau dan anak pula menetap di Lembah Klang. Anak mereka sudah biasa dengan keadaan itu sejak mereka mengenal kehidupan di dunia ini. Anak lelaki sulungnya sudah memasuki alam remaja, begitu juga dengan yang kedua. Pernah dia hampir dilamar oleh seorang lelaki yang menyangka beliau seorang ibu tunggal. Mungkin kerana Musalmah menjalankan peranan sebagai ibu dan bapa, suaminya pula tidak pernah dilihat bersama mereka. Situasi dalam ketiga-tiga kisah di atas mempunyai persamaan iaitu kisah wanita Islam yang mempunyai kerjaya di luar rumah dan mempunyai keluarga yang terpaksa ditinggalkan oleh suami dan bapa kerana tuntutan kerjaya masing-masing. Mungkin jika dibuat tinjauan rambang, kisah begini jarang berlaku tetapi fenomena itu bukanlah sesuatu yang pelik dalam dunia hari ini. Golongan wanita yang mempunyai kelulusan lebih tinggi daripada lelaki menuntut untuk mencari pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan yang dimilikinya. Dalam pada itu, tuntutan fitrah untuk berkeluarga menyebabkan mereka tidak mempunyai banyak pilihan dalam mencari pekerjaan di lokasi yang hampir dengan tempat bekerja. Kalau dulu mungkin persoalan yang timbul ialah, wajarkah wanita Islam bekerja di luar rumah? Di Malaysia hari ini wanita berkerjaya di luar rumah sudah menjadi satu kebiasaan. Persoalan itu boleh dipanjangkan lagi dengan bertanya, wajarkah wanita yang berkeluarga untuk tinggal berjauhan kerana tuntutan kerjaya suami dan isteri. Persoalan ini boleh dikupas untuk melihat kebaikan dan keburukannya. Kembali kepada persoalan asas iaitu mengenai pembabitan wanita di alam pekerjaan di luar rumah. Pada hari ini wanita adalah sebahagian besar daripada tenaga kerja yang sangat diperlukan dalam pembangunan negara, bukan saja di sektor perkilangan, terutama sebagai pekerja kilang elektronik tetapi dalam bidang profesional. Peningkatan itu disebabkan oleh bertambahnya graduan wanita berbanding lelaki daripada IPT memasuki sektor tenaga kerja di negara ini. Fokus perbincangan ini adalah berkisar kepada kedudukan wanita Melayu Muslim di negara ini dan pembabitan mereka dalam kerjaya dan keluarga. Jika diimbas sekali lalu, kedudukan wanita Melayu pra kemerdekaan dan pasca kemerdekaan hingga hari ini memang menjadi sebahagian daripada tenaga kerja yang sama dengan lelaki. Ekonomi negara dulu yang berasaskan pertanian turut membabitkan wanita membanting tulang membantu lelaki. Kaum ibu membantu bapa di sawah dan di ladang mengikut kesesuaian tenaga yang boleh dicurahkan. Hakikatnya ialah bidang pekerjaan kaum wanita bukan saja terletak di dalam rumah tangga tetapi juga membantu menyara kehidupan sekeluarga seperti ke sawah untuk menanam padi dan berkebun serta menoreh getah di samping menjalankan tanggungjawab sebagai suri rumah. Peranan ini terus dimainkan hingga hari ini dengan keadaan berbeza. Persamaan peluang untuk mendapatkan pendidikan sama seperti lelaki memberi peluang kepada wanita memperoleh pendidikan yang lebih baik daripada ibu bapa mereka dulu. Ekonomi negara mengalami perubahan ke arah negara berasaskan perindustrian menyebabkan keperluan terhadap sumber tenaga kerja dalam sektor itu membuka peluang pekerjaan bagi wanita untuk menyumbang tenaga. Peluang pekerjaan untuk wanita masih di bidang yang bersesuaian dengan fitrah mereka. Sektor perkhidmatan hari ini terutama bidang pendidikan menunjukkan trend perubahan yang mana wanita mendominasi profesion perguruan. Apa yang ingin dipaparkan ialah pertama, wanita sudah lama mempunyai kerjaya di luar rumah. Kedua, peranan menambahkan pendapatan keluarga bukan saja diletakkan di atas bahu suami, malahan isteri memainkan peranan sebagai penyumbang. Ketiga, peningkatan taraf hidup terutama di bandar menyebabkan perlu untuk isteri sama-sama keluar bekerja bagi menampung peningkatan taraf hidup kehidupan sekeluarga dan keempat, pendidikan tinggi yang dimiliki wanita membolehkan mereka memegang jawatan tinggi setaraf kelulusan. Keadaan itu menimbulkan dilema atau konflik antara keluarga dan kerjaya. Seperti dalam tiga kes di atas, wanita berkenaan menghadapi situasi di mana mereka terpaksa hidup terpisah antara suami dan keluarga kerana memenuhi tuntutan kerjaya. Dalam hal ini, wanita perlu memikirkan kembali dan meletakkan keutamaan selaras tuntutan fitrah dan kedudukan mereka dalam Islam tanpa mengorbankan peranan sebagai wanita, isteri dan ibu. Apa yang berlaku sekarang menunjukkan bahawa beban kerja dan tanggungjawab wanita meningkat dengan bertambahnya tanggungjawab wanita, isteri, ibu, pekerja, atau mungkin sebagai ketua di pejabat. Mampukah wanita menanggung semua ini? Oleh itu, sebagai wanita Islam hari ini, adalah perlu untuk sama-sama menilai kembali peranan yang perlu dimainkan oleh wanita dalam era globalisasi ini. Islam menetapkan peranan wanita dan menaikkan martabat mereka yang begitu rendah tarafnya sebelum kedatangan Islam di mana mereka ditanam hidup-hidup ketika kecil, diperdagangkan seperti barangan dan sering menjadi sasaran penghinaan. Islam membawa cahaya dan petunjuk bagi menyelamatkan wanita daripada kekejaman jahiliah dan menetapkan hak serta kebebasannya yang hilang dan dirampas. Islam mengangkat darjat wanita ke tempat yang tinggi dengan menerangkan persamaan wanita dengan lelaki daripada sudut kemanusiaan, menjalankan suruhan dan perintah Allah, ganjaran dan balasan yang diterima apabila berbuat kebajikan seperti firman Allah dalam Surah Al Ahzab, ayat 35 yang bermaksud: “Sesungguhnya lelaki Islam dan perempuan Islam, lelaki beriman dan perempuan beriman, lelaki taat dan perempuan taat, lelaki benar dan perempuan benar, lelaki sabar dan perempuan sabar, lelaki merendah diri (kepada Allah) dan perempuan yang merendah diri, lelaki bersedekah dan perempuan bersedekah, lelaki berpuasa dan perempuan berpuasa, lelaki memelihara kehormatannya dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki banyak berzikir menyebut nama Allah dan perempuan yang banyak berzikir menyebut nama Allah, Allah menyediakan bagi mereka seluruhnya keampunan dan pahala yang besar.” Jelas dalam ayat ini Allah menyebut mengenai persamaan tuntutan beribadat dan berakhlak akan mendapat ganjaran sama yang dikurniakan Allah kepada lelaki dan wanita. Jadi persoalan menuntut hak persamaan tidak perlu diungkit lagi. Antara lelaki dan wanita bukanlah pesaing tetapi rakan kongsi yang saling memerlukan antara satu sama lain. Peranan wanita sebagai isteri berkerjaya memerlukan keseimbangan dalam melaksanakan tanggung jawab. Semua inginkan kecemerlangan dalam melaksanakan peranan yang dimainkan wanita tetapi keadaan sebenarnya adalah terlalu sukar untuk mereka cemerlang dalam semua bidang. Pengurusan rumah tangga yang bijak, berkesan dan cekap memerlukan wanita untuk lebih kreatif dan inovatif dalam menangani semua masalah dan cabaran. Sifat wanita yang dijadikan Allah penuh dengan kekuatan dalaman yang boleh dicernakan dengan mendekatkan diri kepada-Nya, dengan penuh ketakwaan dan memohon kekuatan dari-Nya dalam menghadapi segala cabaran dan halangan terutama dalam era globalisasi ini. Walaupun zaman berlalu, peranan wanita seperti Saidatina Khadijah, Saidatina Aishah dan ramai lagi ummul mukminin dan sahabiah perlu diteliti kisah hidupnya untuk mencungkil kekuatan yang boleh dicontohi sebagai bekalan dalam menghadapi dunia yang terlalu mencabar peranan muslimah hari ini. (Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia, Sintok. dijah, Aishah urus keluarga

No comments:

Capture Your Heart
Comments from pYzam.com

Greatest Challenge
Spice up your Twitter with some Twitter Backgrounds